Tuesday 6 August 2013

MIRI: Seorang nenek dan cucu perempuan terpaksa berdepan detik cemas lebih satu jam dengan mengurung diri di dalam sebuah bilik, apabila kediaman mereka diceroboh penjenayah dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Senadin, di sini malam kelmarin.
Penjenayah terbabit dipercayai telah memecah masuk ke rumah terbabit sekitar jam 11 malam melalui pintu masuk utama.
Bagaimanapun, nenek terbabit yang berusia lingkungan 50-an dan cucu perempuan berusia 16, tahun bernasib baik kerana penceroboh terbabit tidak menyedari kewujudan mereka yang bersembunyi di dalam bilik berkenaan.
Manakala penceroboh terbabit leka menyelongkar ruang tamu dan dua bilik lain di rumah tersebut untuk mencari barang berharga.
Menurut sumber, ketika bersembunyi, kedua-dua mangsa berjaya menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan.
“Kami dapat mendengar derap kaki penjenayah berjalan di dalam rumah.
“Kami merasa amat takut dan bimbang kalau-kalau penjenayah terbabit mengapa-apakan kami serta berharap mereka tidak masuk ke bilik tempat kami berdua bersembunyi,” kata nenek terbabit yang enggan namanya disiarkan.
Berikutan itu, sepasukan polis telah bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan terperinci.
Siasatan awal mendapati penjenayah terbabit hanya berjaya melarikan satu unit komputer riba dan lima botol arak dari rumah mangsa.


sumber: http://www.theborneopost.com

0 comments:

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!