Monday 12 August 2013

MIRI: Keghairahan sekumpu­lan empat kanak-kanak per­empuan mandi-manda di sungai berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas, selepas berjaya menye­lamatkan anak saudaranya yang hampir lemas dalam kejadian berlaku di Sungai Lio Mato, Hulu Baram, di sini petang kelmarin (Ahad).
Mangsa yang lemas dike­nali Filicia Ubong Bilong, 12, berketurunan Kenyah dari Kampung Lio Mato, Hulu Baram.
Menurut bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Bilong, ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang kelmarin (Ahad), Filicia yang merupa­kan murid tahun enam di SK Lio Mato sedang mandi-manda sambil bermain tayar besar untuk dijadikan pelampung bersama tiga rakan di sungai berkenaan.
Ketika mandi-manda, anak saudara mangsa yang berusia sembilan tahun dipercayai terlepas pegangan pada tayar tersebut menyebabkan dia hampir tenggelam kerana tidak pandai berenang.
“Melihat keadaan itu, Filicia yang pandai berenang segera menyelamatkan anak saudaran­ya yang hampir tenggelam dan berjaya menyelamatkannya, namun selepas itu, dia sendiri yang tenggelam dan lemas,” ka­tanya ketika ditemui di Hospital Miri di sini semalam.
Selepas melihat mangsa tenggelam, seorang daripada rakannya terus memaklumkan penduduk kampung tentang insiden itu.
Serentak itu, gerakan men­cari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh bapanya sambil dibantu penduduk kampung yang lain.
“Kami menaiki bot hingga ke tengah sungai dan meng­gunakan jala untuk mencari mangsa.
“Setelah hampir sejam men­cari, akhirnya kami menemui mayat mangsa di tengah-ten­gah sungai, tidak jauh dari tem­pat dia tenggelam,” katanya sambil memberitahu mangsa merupakan anak bongsu dari­pada enam beradik.
Mangsa kemudian dihantar ke klinik kesihatan berham­piran namun tidak dapat diselamatkan.
Setelah itu, sekitar jam 9 malam, bapa mangsa dengan bantuan saudara-mara telah membawa mayat mangsa ke Hospital Miri dan tiba di sini jam 5 pagi semalam untuk tujuan pemeriksaan lanjut na­mun disahkan telah meninggal dunia akibat lemas.


sumber : BorneoPost Online



0 comments:

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!