Tuesday 4 June 2013

KUALA LUMPUR, 3 Jun ― Larangan ke atas pemimpin pembangkang Pakatan Rakyat Nurul Izzah Anwar daripada memasuki Sabah telah ditarik balik, kata pihak polis yang mengesahkan perkara tersebut hari ini.
Memetik laporan Astro Awani, Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Hamza Taib berkata tiada sesiapa lagi yang dilarang masuk ke negeri Borneo tersebut tetapi tidak memberikan sebab ia ditarik semula.
Kenyataan Hamza hadir selepas laporan awal hari ini mendedahkan surat dari Pejabat Ketua Menteri Sabah kepada Jabatan Imigresen yang menyenaraihitam beberapa pemimpin pembangkang daripada masuk ke negeri tersebut.
Surat bertarikh 21 Mei itu yang menggunakan kepala surat dari pejabat Datuk Seri Musa Aman juga mengatakan senarai itu diluluskan oleh Kabinet Sabah selepas mesyuarat pertama mereka bulan lalu pada 15 Mei, 10 hari selepas pilihan raya umum ke 13.
“Setakat ini polis berkata, tidak ada individu lain yang dilarang kecuali Nurul. Tetapi larangan itu pun telah ditarik balik.
“Bagi pemimpin-pemimpin yang lain jika mereka mahu datang tidak ada masalah asalkan mereka mematuhi undang-undang,” kata Hamza yang dipetik berkata kepada Astro Awani.
Laman Astro Awani juga melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad tidak dapat mengesahkan bahawa senarai hitam baru yang dikatakan melarang 10 individu daripada parti pembangkang  dan pemimpin masyarakat sivil daripada memasuki Sabah.
Laporan tersebut menyenaraikan beberapa individu yang tidak dibenarkan masuk, antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mohd Rafizi Ramli, Datuk Ambiga Sreenavasan, Mohamad Sabu, Syed Ibrahim Syed Noor, Wong Chin Huat, Maria Chin Abdullah, Ong Boon Kiang dan Hishammuddin Rais.
Menurut Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong, sumber boleh dipercayai dari Jabatan Imigresen telah membocorkan muka surat pertama dokumen tersebut kepadanya.
Dokumen itu telah dilihat oleh The Malaysian Insider. Dari halaman tunggal, tempoh senarai hitam atau sebab mengapa disenarai hitam tidak dinyatakan.
Apabila dihubungi, Lim menyifatkan larangan itu sebagai “tidak masuk akal”, menunjukkan kerajaan telah membuat satu penghinaan terhadap demokrasi disebabkan bukan sahaja mengharamkan rakyat sendiri daripada memasuki sebuah negeri di negara ini, tetapi wakil rakyat yang dipilih secara sah.
“Sudah tentu ini bukan pertama kali… Saya mungkin pemimpin paling kerap disenarai hitam… Saya pernah disekat ke Sabah, ke Sarawak…. tetapi saya ingatkan kita sudah lepas zaman itu.
“Kelihatan kita masih tersekat di situ,” katanya.
Khamis lalu, Nurul Izzah (gambar) telah disekat untuk masuk ke Sabah sebaik sahaja mendarat di Kota Kinabalu untuk menyambut Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai menggunakan kapasiti peribadinya.
Menjelaskan pada Sabtu, Musa dilaporkan berkata mereka yang memberikan ancaman dan merosakkan keharmonian Sabah tidak dialu-alukan untuk ke negeri itu.
Beliau menambah, negeri itu tidak pernah menghalang pemimpin pembangkang sebelum pilihan raya tetapi percaya Nurul Izzah mempunyai niat lain kali ini.
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang turut dihalang masuk ke Sabah pada April lepas.
Malah, pemimpin PR berkata mereka akan mengambil tindakan perundangan terhadap larangan ke Sabah yang dikenakan kerajaan negeri Borneo tersebut terhadap mereka atas alasan mengancam Sabah.

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Suspek yang dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial Facebook kini disahkan telah berjaya ditahan, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
SKMM dalam satu kenyataan ringkas awal hari ini berkata pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM telah berjaya menahan suspek yang merupakan seorang wanita bagi siasatan lanjut.
“Suspek yang merupakan seorang wanita telah ditahan untuk membantu siasatan.
“Beliau dipercayai menyembunyikan diri setelah beberapa laman blog menyebarkan identitinya,” kata Timbalan Pengarah, Komunikasi Strategik SKMM Rahayu Abdul Aziz dalam kenyataan tersebut.
Agensi berkenaan turut berkata wanita berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika disabitkan kesalahan boleh didakwa dibawah Akta Hasutan 1948.
SKMM turut menggesa rakan-rakan suspek tampil bagi membantu penyiasatan mereka.
“SKMM sangat memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuatnaik kandungan serta komen-komen yang berunsur menghina terutamanya institusi DiRaja Malaysia.”
Pemuda Umno juga melalui ketuanya, Khairy Jamaluddin semalam menggesa SKMM bertindak tegas terhadap individu yang menghina Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di laman Facebook.
Khairy berkata perbuatan menyalahgunakan kebebasan untuk menulis dalam media sosial itu tidak boleh dikompromi dan tindakan perlu diambil kerana ia melampaui batas.
“Pemuda Umno memandang serius beberapa ‘posting’ yang telah dibuat dalam media sosial terutama dalam Facebook. Yang terkini adalah ‘posting’ dalam Facebook iaitu kenyataan-kenyataan yang menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
“Walaupun saya selaku Ketua Pemuda Umno menyokong kebebasan bersuara tetapi ada batasnya dan sikap bertanggungjawab,” katanya
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh Ishar Singh juga minggu lalu mengesahkan pihaknya telah menerima enam laporan polis berhubung tindakan menghina Ynag di-Pertuan Agong tersebut.
Beliau berkata kesemua enam laporan tersebut dibuat di Balai Polis Dang wangi oleh individu yang mewakili enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kes berkenaan jelasnya boleh disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!