Monday 28 October 2013

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa ahli politik di Sabah tidak mudah melatah atas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan pengedaran mingguan Katolik, Herald di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Khamis.
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali (gambar), berkata KDN perlu diberi ruang menjalankan tugas mereka setelah Mahkamah Rayuan tidak membenarkan akhbar tersebut menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.
“Biarkan KDN melakukan tugas mereka demi kepentingan rakyat dan negara kerana jika KDN gagal melaksanakan tugas, pihak lain pula akan berasa tidak puas hati.
“Mahkamah membuat keputusan dan KDN yang bertanggungjawab menguatkuasakannya. Maka saya harap semua pihak harus menerimanya.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur yang meragukan. Saya minta pihak yang terbabit jangan cepat melatah. Perkasa berpendapat tiada masalah kepada rakyat Sabah namun hanya segelintir ahli politik yang bertindak sedemikian,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam.
Syed Hasan berkata, isu akhbar Herald ini dipolitikkan oleh sesetengah pihak dan menggesa seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menuju ke arah perpaduan.
Katanya, apa sahaja perbezaan dan masalah mesti diselesaikan bersama dan itu lebih baik daripada menimbulkan lagi masalah.
“Rakyat Malaysia seharusnya lebih menumpukan kepada perpaduan kaum di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Jangan mudah termakan hasutan pihak tertentu yang hanya mahu berdiri atas kepentingan politik,” katanya.
KDN semalam berkata, Herald yang dilarang pengedarannya di Sabah minggu lalu diambil hanya bagi tujuan pemeriksaan.
Dalam mempertahankan tindakannya menghalang 2,000 naskhah Herald diedarkan ke gereja di Sabah, KDN melalui laman Facebook menegaskan tindakan mereka itu bagi memastikan keluaran terkini Herald tidak menggunakan kalimah Allah seperti arahan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober.
“Naskah itu dibenar untuk diedarkan hari ini selepas pemeriksaan mendapati kalimah Allah tidak digunakan dalam edisi tersebut,” katanya.
Difahamkan hanya 53 naskhah diambil pada Jumaat lalu oleh Jabatan Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN.
Dilaporkan juga bahawa 2,000 naskhah tersebut ditahan KDN semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Khamis. - 29 Oktober, 2013.

0 comments:

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!