Tuesday 8 April 2014

KUALA LUMPUR 7 April - Malaysia berharap petunjuk terbaharu yang diperoleh kapal pertahanan Australia, Ocean Shield dan kapal peronda China, Haixun 01 dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 membawa ke arah penemuan yang lebih kukuh.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau lebih optimis berkaitan perkembangan terbaharu itu tetapi tetap berwaspada sehingga bukti sahih diperoleh.
Katanya, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia memaklumkan Ocean Shield mengesan dua isyarat getaran kira-kira 1,650 kilometer di barat daya Perth.
"Isyarat pertama dikesan kira-kira dua jam 20 minit manakala yang kedua selama 13 minit yang konsisten dengan transmisi perakam data dan perakam suara kokpit penerbangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Hishamuddin, Haixun 01 juga mengesan isyarat serupa sebanyak dua kali.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkaitan perkembangan terbaharu operasi SAR MH370 di Perth, pagi ini.
"Semua pihak diminta memberi masa dan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkembangan terbaharu ini," katanya.
Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu merupakan petunjuk paling meyakinkan dalam misi mencari pesawat MH370.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa supaya terus berdoa dan tidak putus harapan.
"Kami akan meneruskan segala usaha untuk mencari MH370," katanya.

Sumber : Utusan



0 comments:

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!