Pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander meramalkan kerajaan akan memotong subsidi minyak kali kedua tahun depan bagi menangani defisit fiskal yang dihadapi selama 15 tahun berturut-turut.
September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, sekaligus menimbulkan kemarahan dan kritikan daripada orang ramai dan juga pembangkang Pakatan Rakyat (PR).
"Kelihatannya mungkin ada satu lagi pusingan (rasionalisasi subsidi minyak)," kata Frederico semasa ditemui sebaik berakhir Dialog Pasca Bajet 2014 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di Bukit Kiara hari ini.
Frederico yang bertugas di Jabatan Asia Timur dan Pasifik, Membasmi Kemiskinan dan Pengurusan Ekonomi, berkata berdasarkan pembentangan Bajet baru-baru ini adalah isyarat jelas Putrajaya akan mengambil langkah rasionalisasi tersebut pada tahun depan.
Subsidi minyak merupakan jumlah terbesar yang dibelanjakan oleh kerajaan setiap tahun, dianggarkan berjumlah RM24.8 bilion atau 53% daripada keseluruhan RM47 bilion wang yang dibelanjakan untuk subsidi sahaja.
"Jika dilihat pada peruntukan, untuk peruntukan minyak dijangka akan menurun secara signifikan tahun depan.
"Di mana saya berpendapat ia adalah isyarat kemungkinan akan berlaku rasionalisasi subsidi minyak bagi memastikan sasaran dapat dicapai," kata beliau yang merujuk kepada sasaran kerajaan mengurangkan defisit fiskal pada paras 3% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang pada 2020.
Sementara itu, Frederico berpandangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diumumkan baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi mengelak kebergantungan kepada hasil minyak semata-mata.
Jumaat lepas, Najib mengumumkan melaksanakan cukai kontroversi GST bermula 1 April, 2015 pada kadar 6%.
"GST sangat berguna, ia bagi mengelak terlalu bergantung kepada hasil minyak semata-mata," katanya lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang turut berada dalam dialog tersebut tidak menolak cukai tersebut mampu menjana pendapatan kepada negara tetapi menegaskannya bukan jaminan akan tidak boros serta melebihi bajet yang telah diperuntukan.
"Apabila menjana hasil yang besar, kerajaan juga berbelanja besar menjangkaui peruntukan setiap tahun
"Sejak beberapa tahun ini, kerajaan telah memohon bajet perbekalan tambahan kerana peruntukan yang diberikan tidak mencukupi," kata Pua.
Awal bulan lalu sebelum pembentangan bajet, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) sebanyak RM14,125,580,900 kepada beberapa kementerian sebagai perbelanjaan mengurus.
Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini juga mendedahkan beberapa ketirisan dan kebocoran melibatkan beberapa kementerian kerajaan yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan pembentangan bajet kali ini menunjukkan keseriusan kerajaan untuk menangani defisit fiskal terutamanya selepas laporan oleh agensi penarafan global Fitch Ratings yang meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif.
"Kita perlu menghantar mesej bahawa kita serius untuk mengatasi defisit fiskal.
"Tapi saya juga bersetuju supaya satu langkah yang tegas perlu diambil untuk mengatasi kebocoran dan ketirisan seperti didedahkan Ketua Audit baru-baru ini," kata Khairy.
Najib membentangkan bajet 2014 bertemakan "Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji", merangkumi lima teras utama bajet iaitu merancak aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, menggungul modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar, dan mensejahtera kehidupan rakyat. - 28 Oktober, 2013.
sumber : http://my.news.yahoo.com
0 comments:
Post a Comment